January 31, 2008

PENGANTAR SEBUAH SATIRA

SELAMAT datang tahun baru 2008.

Aku tahu. Tanpa kuucapkan apa pun, engkau akan tetap juga muncul dan datang.

Seperti banyak benda dan perkara lain dalam hidup aku.

Yang aku suka memang selalu kuharapkan datang dan menjadi kenyataan. Begitu juga benda dan perkara yang aku tidak suka. Pun akan tetap muncul dan datang.

Jadi, muncul dan datanglah apa sahaja: yang aku suka dan tidak suka. Aku akan tetap begini juga. Meneruskan hidup dan segala yang aku yakini.

Dihujat? Diumpat? Dikeji?

Aih. Biasalah itu. Pokok yang paling tinggi menjulang, dibandingkan dengan pokok-pokok lain di sekitar dirinya, tentulah yang paling kerap akan digoncang oleh angin dan ribut.Ada pepatah pun. Kalau takut bermain ombak, jangan berumah di tepi pantai. Dan aku tersenyum-senyum ketika menulis catatan ini.

Aku melihat terlalu banyak benda, peristiwa dan perkara. Semuanya adalah satira belaka. Satira bukan sembarangan satira. Tetapi satira yang berguling-guling dan bergomol lantaran kekacauan diri dan identitinya sendiri.

Aku menulis catatan ini selepas tahun baru 2008 ini memasuki hari ke empat.

Selepas selama beberapa hari itu juga kutimbang-timbang dan kubolak-balik di dalam fikiran pilihan dan cara untuk bersatira dengan lebih gencar lagi telus.

Telus? Kah. Kah. Kah. Aku langsung terbahak-bahak ketawa sendiri.

Aih. Banyak sungguh kata pun sudah menjadi bahan mainan serta disatirakan. Terutama oleh mereka yang kononnya berasa dirinya berdiri di puncak menara.

Atau kalau tidak pun, bagi sesiapa yang sekejap diberikan pinjaman kekuatan bernama kuasa. Lalu pinjaman bernama kuasa itu dihunuskannya ke sana dan ke sini.

Walau kadang-kadang ketika berhadapan hanya dengan bayang- bayang.

Januari 4, 2008

No comments: