ADA sebahagian orang yang mungkin sudah kelebihan cerdik mendakwa nantinya hanya ada empat sahaja raja yang akan kekal di dunia ini. Raja yang dimaksudkan itu adalah raja di daun terup.
Jelas dan nyata mereka ini lupa dan kabur dalam membuat penilaian. Apa pun sahaja yang bernama raja di dalam dunia ini tetaplah akan kekal dan kalau pun lenyap sekejap, nantinya akan adalah raja yang lain akan mengganti takhtanya.
Aku maksudkan ini bukanlah raja-raja yang sedang memerintah negara. Tetapi raja yang aku sebut ini adalah raja yang selalu meraja-rajakan segala helah, laku dan tingkahnya untuk kepuasan serakah nafsu dan kepentingan perut serta diri sendiri.
Terutama dan paling berbahaya adalah seorang raja yang dikenal serta tersohor namanya sebagai Raja Katak.
Adapun akan raja ini mendapat gelarannya bukanlah kerana dia itu pada asalnya adalah seorang raja yang telah menjadi katak, tetapi mendapat dia akan gelaran itu kerana laku dan perangai dia yang suka benar melompat dan melompat dari satu pendirian ke satu pendirian yang lain, atau dari satu kelompok ke satu kelompok yang lain.
Asalkan lengkap dan sempurna imbal dan gajaran, bersedialah dia untuk melompat serta menyeberang, walau yang memilih dia dahulu adalah jelata dan jembel dan bukannya kelompok yang menjanjikan dia imbal serta ganjaran kerana lompatannya itu.
Itulah dia rajanya. Lompat si katak lompat. Janji ada balas dan cukup ganjar dicampak, bersedialah untuk melompat dan terus melompat.
Mula-mula memanglah buat jual mahal dan tidak sudi. Itu semua taktik belaka kerana masih menanti tawaran ganjar yang lebih padu dan berisi.
Lompat. Lompatlah si katak. Lompat. Lompat. Lompatlah. Biar sampai masuk ke dalam lopak tempat babi berkubang dan membiak.
Februari 25, 2009
0 Komen::
Post a Comment